Saturday, March 21, 2015

"Dahulu, ada seorang yang telah berbuat dosa. ......"

Di petik dari fb Capt Hafiz Firdaus Abdullah

"Dahulu, ada seorang yang telah berbuat dosa. Setelah itu, dia berdoa: 'Ya Allah, ampunilah dosaku! ' Kemudian Allah Tabaraka Wa Ta'ala berfirman: 'Sesungguhnya hamba-Ku mengaku telah berbuat dosa, dan dia mengetahui bahwasanya dia mempunyai Tuhan yang dapat mengampuni dosa atau memberi seksa kerana dosa.'

Kemudian orang tersebut berbuat dosa lagi dan dia berdoa; 'Ya Allah, ampunilah dosaku! ' Maka Allah Tabaraka Wa Ta'ala berfirman: 'Hamba-Ku telah berbuat dosa, dan dia mengetahui bahwasanya dia mempunyai Tuhan yang mengampuni dosa atau menyeksa hamba-Nya kerana dosa'.

Kemudian orang tersebut berbuat dosa lagi dan dia berdoa; 'Ya Allah, ampunilah dosaku! ' Maka Allah Tabaraka Wa Ta'ala berfirman: 'Hamba-Ku telah berbuat dosa, dan dia mengetahui bahwasanya dia mempunyai Tuhan yang mengampuni dosa atau menyeksa hamba-Nya kerana dosa. Oleh karena, berbuatlah sekehendakmu, karena Aku pasti akan mengampunimu (jika kamu bertaubat).'

[Shahih Muslim, no: 4953/6986/2758]

-----------------

Kadangkala ada orang yang berbuat dosa, kemudian taubat, kemudian buat dosa lagi, kemudian taubat..... dan hal ini berulang-ulang.

Ada yang memandang remeh taubat seperti ini.

Sebenarnya Allah tetap menerima taubat atau pemohonan ampun. Selagi mana seorang hamba merujuk kembali kepada Allah, maka Allah menerimanya.

Hadis ini bukan memberi motivasi untuk orang sengaja berbuat dosa berulang kali, tetapi memberi motivasi untuk orang yang bertaubat agar tidak putus asas meminta keampunan Allah meskipun dirinya tidak kuat untuk menjauhi kesalahan yang dilakukannya.

Imam al-Nawawi memberi bab hadis ini: Bab diterima taubat dari dosa meskipun berulang kali berbuat dosa dan taubat.

Sunday, March 15, 2015

Sifat Ujub.....

Harakah, 14th Mar 2015


TAJUK: "Belajarlah menghargai orang lain..dan jangan bersifat ujub".

Oleh: TUAN IBRAHIM TUAN MAN

SEMUA orang ada sumbangan dalam perjuangan Islam. Sumbangan tersebut tentulah berbeza antara satu sama lain, mengikut kemampuan dan kepakaran mereka.

Jangan pula seorang peguam mengkritik ahli ekonomi yang tidak bercakap bab undang-undang sebagai bodoh dan tidak menyumbang kepada perjuangan Islam, hanya kerana ia tidak berbicara soal undang-undang.

Jangan kita rasa ujub dengan apa yang kita tahu lalu membodohkan orang lain.

Di dalam segenggam lidi, semuanya berguna hatta lidi yang pendek sekalipun, walau tidak terkena sampah waktu menyapu, tetapi ia berperanan menguatkan ikatan lidi itu. Andai lidi pendek ini dibuang, ia akan meloggarkan semua ikatan lidi itu.

Begitulah kita dalam sebuah jamaah. Allah mengibaratkan ia bagai sebuah bangunan. Bangunan itu asalnya hanya bata, pasir, batu, simen, besi dan air. Namun bila digaul dan disusun, ikatan menjadi sangat kuat hasil kerjasama tersebut yang boleh bertahan berkurun lamanya.

Pendeknya, setiap orang ada bidang dan kebolehan masing-masing. Semua menyumbang kepada kemenangan Islam. Sumbangan lebih besar boleh dicapai jika semua erti saling menghormati kelebihan masing-masing.

Ahli agama ada bidang dan medannya. Ahli ekonomi ada kepakaran dan medannya demikian ahli doktor, jurutera, sains dan lain lain – mereka juga ada kepakaran dan medannya untuk memyumbang.

Kita tidak mungkin minta pakar sains berbicara tentang kaedah istinbat hukum yang menjadi kepakaran bagi ahli agama. Tapi ini tidak bermakna pakar sains tidak boleh mengeluarkan pandangannya. Cuma jangan pula pakar sains bersifat ujub sehingga menghina pandangan dan memandang remeh sumbangan orang lain.

Jangan kita kita perbodohkan orang lain semata-mata merasakan kitalah yang hebat itu, atau hanya kita sahaja yang membuat kerja Islam ini bagaikan orang lain tidak bekerja.

Buanglah ego dalam diri kerana mungkin kita rasa hebat tetapi orang lain rasa meluat dengan kenyataan kita.

Musuh ingin melihat perpecahan di kalangan kita dengan menimbulkan buruk sangka dan hilangnya hormat antara satu sama lain. Mereka gembira apabila kita hilang adab dalam memberi pandangan. Di kala itu, segala pandangan baik tidak lagi menjadi kebaikan. Kerana kebaikan hanya akan lahir bila kita mengerti berkasih sayang serta menghormati seseorang. Bilamana hilang hormat kita pada mereka, maka hilanglah hormat mereka kepada kita.

Belajarlah untuk thiqah pada orang lain, dan tawadduklah (merendah dirilah), kerana keegoanlah yang menjerumuskan syaitan ke lembah kehinaan. - HARAKAHDAILY 13/3/2015

Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
Naib Presiden PAS
13 Mac 2015