Kredit pada
Ustaz Emran Ahmad
Dilema pengundi Muslim
Berikut ialah beberapa dilema yang dikongsikan oleh beberapa rakan
kepada saya untuk sama-sama kita bermuhasabah atau semak adakah ianya
benar?
1. Ada beberapa rakan dilema hendak memilih parti Islam
kerana wujud calon yang diletakkan oleh parti tersebut adalah di
kalangan golongan agama yang terkenal anti kepada dakwah sunnah dan pro
bid'ah serta penyebar hadith palsu.
Di Perlis misalnya, terdapat
kepercayaan bahawa jika parti jenama Islam memerintah maka muftinya akan
ditukar, dakwah sunnah akan disekat dan bid'ah, majlis haul, ya hanana
akan dibawa masuk secara berleluasa tanpa ada sesiapa lagi menghalang.
Walaubagaimana pun ramai rakan saya yang kuat beragama memilih parti
ini atas alasan komitmen dan dasar parti ini secara keseluruhan yang
mahukan Islam tertegak dan kewujudan kelompok agamawan yang ramai di
dalamnya. Cuma mereka terkilan dengan sikap fanatik dan keras sebahagian
ahlinya terhadap orang yang berbeza aliran dengan mereka dan bimbang
akibat yang akan berlaku jika kuasa di tangan mereka.
2.
Sementara itu pula, ada sahabat saya juga menzahirkan kekhuatiran bahawa
jika menyokong parti yang menyertai gabungan pakatan pelbagai aliran
yang ada dan mereka menang maka liberal serta golongan anti Islam
seperti Sister in Islam, G 25, Lgbt, syiah dan pelbagai lagi kumpulan
anti-Islamik ini akan semakin berani.
Ini kerana parti gabungan
atau pakatan ini tidak dilihat begitu bersungguh memperjuangkan dasar
Islam atau membela Islam. Pesta Arak Oktoberfest pun tidak ramai yang
membangkang, kemudian parti bukan Islam yang dimonopoli oleh kaum Cina
itu kerap kali mengeluarkan sentimen anti Islam seperti isu Dr. ZAKIR
NAIK, isu arak, konsert, isu aurat dan sebagainya yang menjadi
keperihatinan seorang muslim.
Pun begitu ramai rakan saya condong
kepada parti gabungan ini kerana kerjasama mereka lebih realistik jika
mahu mengubah negara dan keadaan rakyat dianggap paling bermanfaat jika
mereka dapat memenangi pilihanraya.
Manfaat lainnya dilihat
bahawa dakwah sunnah serta Islam yang progresif akan lebih subur,
bid'ah, lebai penunggang agama akan lebih senang dicantas jika pakatan
ini memenangi pilihanraya.
Pun begitu ada harganya yang perlu dibayar.
3. Sungguh pun menghadapi masalah ekonomi dan rakyat semakin tertekan
namun zaman Najib dan Pak Lah dilihat lebih membantu dakwah berjalan
dalam negara tanpa halangan berbanding zaman Mahathir.
Najib
dilihat tidak peduli perkembangan dakwah asalkan boleh memerintah,
beliau juga boleh dianggap agak menghormati agamawan berbeza dengan
Mahathir yang suka memberi komen tentang isu agama dan tunjuk pandai
serta kurang menghormati agamawan kecuali sebilangan kecil.
Kasim Ahmad mendapat sokongan Mahathir walaupun dibantah oleh ramai agamawan.
Najib pula meraikan Dr. ZAKIR NAIK dan ramai ulama' luar bebas datang
ke Malaysia yang jika kita di zaman Mahathir kemungkinan visa mereka
pasti dihalang.
Namun, kata sahabat saya harga mengundi Najib
dan BN adalah sangat mahal iaitu harganya ialah penderitaan rakyat yang
berpanjangan. Cukai semakin naik, harga barang mahal, subsidi
dikurangkan, hospital dan pendidikan dipotong budget atau bantuan
sehingga banyak pemeriksaan kesihatan(scan, x-ray, ultra sound) untuk
rakyat awam terpaksa mengikut tapisan yang lebih ketat, ubat perlu
dibeli di luar dan sebagainya.
Mengundi BN akan menjadikan kita bertanggungjawab ke atas semua akibat ini.
4. Ramai rakan dan sahabat saya ragu, keliru dan pening hendak memilih
kerana mereka bukanlah orang yang taasub atau fanatik kepada sesuatu
kumpulan dan parti sebaliknya mahu menilai secara keseluruhan dan ingin
membuat keputusan yang
terbaik.
5. Buat masa ini selagi belum keluar senarai penuh calon dan belum
meneliti kesan dan akibat daripada keputusan kita mengundi atau memilih
pemimpin maka saya mensarankan mereka untuk terus bermuhasabah, mengkaji
dan mencari data atau maklumat-maklumat baru yang boleh membantu mereka
membuat keputusan besar yang akan mempengaruhi masa depan dan hala tuju
negara.
Di samping melakukan istikharah memohon petunjuk Allah.
Agar kita tidak menjadi seperti yang disebut oleh Allah dalam al-Quran;
وَقَالُوا رَبَّنَا إِنَّا أَطَعْنَا سَادَتَنَا وَكُبَرَاءَنَا فَأَضَلُّونَا السَّبِيلَا
"Dan mereka berkata: "Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mentaati
pemimpin-pemimpin dan pembesar-pembesar kami, lalu mereka menyesatkan
kami dari jalan (yang benar)." (Al-Ahzab: 67)
# Adapun saya dan
keluarga, kami insyaAllah akan menyokong apa yang paling bermanfaat
untuk Islam walaupun kami terpaksa sengsara kerana dunia hanya
sementara!