Wednesday, June 22, 2022

๐Œ๐ž๐ง๐š๐ซ๐š ๐…๐ข๐ซ'๐š๐ฎ๐ง ๐Ÿ๐Ÿ“ ๐ค๐ฆ? ๐๐š๐ก๐š๐ง๐š ๐ฉ๐ž๐ฆ๐ข๐ค๐ข๐ซ๐š๐ง "๐š๐ฌ๐š๐ฅ ๐š๐๐š ๐๐š๐ฅ๐š๐ฆ ๐ค๐ข๐ญ๐š๐›" .

 Credit : Su Han Wen Shu

 

Terlalu banyak asatizah yang sering menceritakan kisah-kisah yang tidak dipastikan kesahihannya, atau yang mana kesahihan kisah tersebut amat diragui.
Dalam kes terbaru ini, Ustaz Wadi Annuar mendakwa kononnya Fir'aun membina menara setinggi 15 km, dikatakan rujukannya adalah Kitab Tarikh Al-Umam Wal Muluk karangan Ibn Jarir At-Tabari.
Sebahagian asatizah akan marah apabila kita mempertikaikan kesahihan kisah tersebut; mereka berpendapat bahawa jika kisah ini tidak sahih, mengapa para ulama silam mencatitkannya dalam kitab mereka?
Sebenarnya salah pemikiran sebegini.
Tugas para ulama silam yang menulis Kitab Tarikh dan Kitab Sirah, seperti Ibn Jarir At-Tabari, Ibn Hisham dan Ma'mar bin Rashid, hanyalah mengumpulkan kisah-kisah dan riwayat-riwayat yang wujud pada zaman mereka. Mereka membiarkan pembaca untuk menilai kesahihan kisah-kisah yang mereka kumpulkan.
Antara buktinya adalah kata-kata penafian (atau "disclaimer") daripada Ibn Jarir At-Tabari (wafat pada tahun 310 Hijrah) di dalam Kitabnya, Tarikh At-Tabari :
"Jika aku menukilkan riwayat-riwayat mengenai tokoh-tokoh silam di dalam Kitab ini, yang mana pembaca akan membantah atau menolaknya kerana tiada kebenaran padanya, ketahuilah bahawa ia bukan dinisbahkan kepada kami, tetapi ia berasal daripada mereka yang meriwayatkan kepada kami dan kami hanya meriwayatkannya sebagaimana ia diriwayatkan kepada kami". [1]
Daripada kata-kata Ibn Jarir At-Tabari ini, kita sudah boleh tahu bahawa bukan semua kisah yang dihimpunkannya adalah sahih.
Perlu diingat, kaedah ulama ketika itu adalah jika seseorang meletakkan hadis atau riwayat yang lengkap dengan sanadnya, maka dia telah dikira menunaikan tanggungjawabnya, kerana dia telah memberi ruang kepada para ulama terkemudian untuk menilai riwayat itu sama ada ia sahih atau tidak dengan meletakkan sanad penuh berserta riwayat itu dalam kitab tulisan mereka.
Kaedah ini dikenali sebagai:
ุฃู† ู…ู† ุฃุณู†ุฏ ูู‚ุฏ ุจุฑุฆ. ูˆู‡ุฐู‡ ู‚ุงุนุฏุฉ ุนู†ุฏ ุงู„ู…ุญุฏุซูŠู†
"Sesiapa yang meletakkan sanad, maka dia terlepas (daripada tuduhan berdusta). Ini merupakan kaedah di sisi ahli hadis". [2]
Ini adalah kaedah para ulama sirah dan hadis sejak zaman berzaman.
Mungkin ada yang akan bertanya, mengapa tiada para ulama silam yang menapis riwayat-riwayat ini agar ia hanya memuatkan riwayat dan kisah yang sahih sahaja, agar orang awam boleh menelaahnya?
Untuk menjawab soalan ini, kita kena ingat, kaedah penulisan Kitab zaman dahulu amat berbeza dengan kaedah penulisan Kitab zaman sekarang:
1. Kita kena ingat, zaman dahulukala, tiada mesin cetak (printing press). Kitab Al-Quran, Kitab hadis dan mana-mana Kitab Muktabar disalin dengan tangan dari generasi ke generasi.
Kecuali Kitab Al-Quran, bukan semua orang pada zaman dahulu mampu nak beli atau simpan Kitab-Kitab hadis kat rumah; kecuali para Ulama dan Thalibul Ilm. Merekalah yang bersusah-payah tahqiq makhtutat (manuskrip) Kitab-Kitab Muktabar dan sampaikan kepada kita hari ini.
Para ulama muktabar ini sendiri pun tahu bahawa wujudnya riwayat-riwayat tidak sahih, bahkan palsu dalam Kitab Muktabar ini, seperti kenyataan Ibn Jarir At-Tabari yang aku tunjukkan sebelumnya.
Cumasanya, sebelum para ulama merujuk kepada Kitab-Kitab ini untuk mengeluarkan hukum atau fatwa, perlu diingat bahawa kebanyakan dari mereka mempunyai keupayaan untuk menilai dan membezakan antara hadis dan riwayat yang sahih dengan yang batil. Ibn Jarir At-Tabari contohnya, adalah seorang faqih yang mempunyai mazhabnya sendiri, di samping seorang muhadis (Ulama Hadis) dan mufassir (Ulama Tafsir) yang terulung pada zamannya; maka tidak ada masalah bagi beliau untuk menilai dan membezakan antara kisah yang sahih dan palsu.
Jadi tidak ada masalah jika ada riwayat-riwayat batil dalam Kitab-Kitab Muktabar, kerana mereka mampu membezakan antara yang dhaif dan yang sahih.
2. Di samping itu, setiap kitab hadis yang ada pada zaman itu dikumpulkan mengikut niat penulis kitab yang berbeza-beza. Contohnya:
i.) Imam Ahmad ibn Hanbal menulis Musnad Ahmad dengan tujuan untuk mengumpulkan hadis-hadis yang masyhur di zamannya. Maka ada hadis sahih, hadis dha'if, dan hadis mungkar yang terkumpul dalam Musnad Ahmad.
ii.) Kitab-Kitab Hadis yang bertajuk "Sunan" kebanyakannya adalah Kitab-Kitab hadis yang bertujuan untuk mengumpulkan hadis-hadis yang dijadikan sandaran hukum oleh para fuqaha zaman itu, tanpa mengira sama ada hadis itu sahih, dhaif atau mungkar.
3. Kemudian datangnya zaman kewujudan mesin cetak (printing press), maka makin banyaklah Kitab Muktabar dan Kitab Hadis yang selama ini hanya berlegar-legar di kalangan para ulama dan Thalibul Ilm, kini mampu dimiliki oleh orang-orang awam.
Ini ada kesan baik dan buruk. Kesan baiknya ialah orang awam dapat "berkenalan" dengan karya-karya ulama silam yang lepas.
Kesan buruknya adalah orang awam tiada kemampuan untuk menilai hadis dan riwayat dalam Kitab-Kitab ini.
Maka banyaklah berlegar-legar amalan dan kisah-kisah yang tidak thabit dan tidak pernah diamalkan oleh para ulama silam dari kalangan orang awam Muslim di hari ini. Ramai yang menggunakan hujjah "kisah/amalan ini ada dalam Kitab" untuk menghalalkan amalan atau perbuatan mereka menyebarkan kisah-kisah yang tidak sahih tersebut.
4. Maka muncul lah para ulama yang menyambung tradisi menilai hadis dan riwayat dalam Kitab-Kitab Muktabar yang tersebar luas ini.
Kebanyakan mereka dituduh "biadap" dan "kurang ajar" terhadap para ulama silam yang menulis Kitab-Kitab ini; walhal mereka hanyalah meneruskan amalan para ulama silam sentiasa mengkaji kesahihan hadis dan riwayat yang ada dalam Kitab-Kitab ini sebelum ia boleh diamalkan dan disebarkan kepada orang awam.
Merekalah para ulama yang amanah dengan ilmu mereka dengan menapis hadis dan riwayat yang ada dalam Kitab-Kitab Muktabar sebelum ia boleh diamalkan dan disebarkan kepada orang awam.
Cumasanya orang awam menganggap perbuatan mereka sebagai "biadap", kerana mereka tidak biasa dengan kancah ilmu yang di mana para alim akan sentiasa mengkaji atau membantah sesuatu pendapat mengikut hasil kajian dan ijtihad mereka.
5. Sheikh Ahmad Syakir, Sheikh Shuaib Al-Arnout dan Sheikh Safi Ar-Rahman Al-Mubarakfuri adalah antara ulama hadis yang faham dengan waqi' (realiti) ini; mereka tahu penyebaran Kitab-Kitab Muktabar dan Kitab-Kitab hadis di kalangan orang awam tidak boleh dihentikan lagi sejak wujudnya zaman mesin cetak ini.
Maka, mereka banyak membuat Takhrij dan Tahqiq dari Kitab-Kitab Muktabar untuk memuatkan hadis dan riwayat yang sahih dalam Kitab-Kitab ini.
Contohnya:
Imam Adz-Dzahabi yang banyak menilai semula penilaian hadis yang dibuat oleh Imam Al-Hakim An-Naisaburi di dalam Kitab Al-Mustadrak ala Al-Sahihayn; di dalam Kitab karangan Imam Adz-Dzahabi, yakni Kitab At-Talkhis Al-Mustadrak, Imam Adz-Dzahabi banyak menilai semula hadis-hadis yang dinilai oleh Imam Al-Hakim An-Naisaburi.
Imam Az-Zailaei di dalam kitabnya, Nasb Al-Rayah, banyak menilai hadis-hadis yang wujud di dalam Kitab Al-Hidayah, Kitab fiqh Mazhab Hanafi;
Sheikh Shuaib Al-Arnout tahqiq Kitab Musnad Ahmad karangan Imam Ahmad ibn Hanbal; beliau juga meletakkan penilaian hadis dalam Musnad Ahmad, contohnya, beliau menilai riwayat Saidatina Aisyah meratapi kewafatan Rasulullah S.A.W dengan cara memukul muka dan dada sebagai riwayat yang sangat dhaif dan tidak boleh dijadikan hujjah.
Sheikh Ahmad Syakir Tahqiq Kitab Ar-Risalah karangan Imam Syafi'i dan Kitab Sunan At-Tirmidzi karangan Imam At-Tirmidzi.
Manakala Sheikh Safi Ar-Rahman Al-Mubarakfuri pula menulis Kitab Ar-Rahiq Al-Maktum, yang memuatkan kisah-kisah yang sahih dari sirah Nabi S.A.W.
Karya-karya mereka ini banyak memudahkan orang-orang awam untuk terlepas dari ancaman berdusta atas nama Rasulullah S.A.W., apabila mereka hanya menukilkan dan menyebarkan kisah-kisah yang telah terbukti kesahihannya.
Perlu diingat, jika kisah dan riwayat ini tidak ditapis sebelum disebarkan kepada orang awam, banyak kisah-kisah yang dusta tentang sirah Nabi dan para sahabat akan tersebar;
Contohnya, menurut Sirah Rasulullah S.A.W karangan Ibn Ishaq, Kinana Al-Rabi, seorang tokoh Yahudi, telah diseksa oleh Rasulullah S.A.W agar mendedahkan harta yang disembunyikannya selepas Perang Khaybar [3].
Adakah wajar bagi seorang Nabi, yang terkenal dengan sifat pemaaf dan rahmat, untuk menyeksa seorang tahanan semata-mata ingin merampas hartanya? Sudah tentu perbuatan itu tidak sesuai bagi seorang Nabi yang kita kenali yang mempunyai akhlak yang tinggi.
Menurut ulama hadis dan sirah yang mengkaji kisah ini, kisah ini tidak sahih; kerana Ibn Ishaq tidak menyatakan sumber periwayatan beliau tentang kisah ini;
Faktanya adalah, Kinana Al-Rabi telah dibunuh oleh Muhammad ibn Maslamah atas hukuman Qisas, kerana Kinana Al-Rabi telah membunuh saudara lelaki Muhammad ibn Maslamah, yakni Mahmud ibn Maslamah.[4]
Antara kisah lain yang tidak sahih adalah kisah kononnya Abdullah ibn Abi Sarh menambah ayat-ayat Al-Quran ketika beliau menjadi penulis wahyu Rasulullah S.A.W, dan Rasulullah S.A.W membenarkan perbuatan beliau itu; maka ini menyebabkan Abdullah ibn Abi Sarh mendakwa Rasulullah S.A.W menipu wahyu dan menyebabkan Abdullah ibn Abi Sarh murtad dan kembali ke Makkah.[5]
Hakikatnya, tidak ada satu pun kisah sebab murtadnya Abdullah ibn Abi Sarh yang sahih; bahkan wujud juga riwayat (yang juga tidak sahih) yang menyatakan bahawa Abdullah ibn Abi Sarh pernah murtad dan kemudian kembali kepada Islam sebelum penaklukan Makkah.
Fakta yang diketahui adalah Abdullah ibn Abi Sarh pernah murtad, kemudian kembali kepada Islam selepas peristiwa penaklukan Makkah. Tidak diketahui sebab beliau murtad; namun ini bukanlah kejadian terpencil pada zaman itu, kerana ketika itu pimpinan Rasulullah S.A.W di Madinah masih dalam keadaan yang lemah jika dibandingkan dengan Quraisy di Makkah, maka wujudnya sebahagian Sahabat Rasulullah S.A.W, seperti Hatib ibn Abi Baltha'ah, yang menghantar surat dan menjadi mata-mata bagi Kaum Quraisy yang melaporkan keadaan Kaum Muslimin di Madinah kepada Musyrikin Makkah. Beliau terpaksa melakukan perbuatan ini kerana beliau mahukan kabilah Quraisy melindungi keluarga dan tanggungannya yang berada di Makkah ketika itu.[6]
Jika kita menerima apa sahaja yang ada dalam Kitab, mahukah kita mendakwa bahawa Rasulullah S.A.W menipu wahyu (Nauzubillah) , seperti dakwaan Abdullah ibn Abi Sarh?
Maka kami harapkan dengan contoh dan penjelasan ini, pembaca semua akan lebih teliti dan berhati-hati sebelum menukilkan kisah-kisah yang ada dalam kitab; perbetulkan mentaliti "asal ada dalam Kitab", dan sekurang-kurangnya rujuklah penilaian para ulama hadis tentang sesuatu kisah itu sebelum ia disebarkan secara meluas.
Wallahualam.
Nota kaki :
[1] Ibn Jarir At-Tabari, Tarikh Al-Umam Wal Muluk, Jilid 1, m/s 13, Darul Kutub Al-Ilmiyah, cetakan tahun 1997
[2] Syarah Kitab al-Tadlis oleh Muhd Hasan Abd al-Ghaffar, (1/13)
[3] Ibn Ishaq, Sirat Rasulullah S.A.W, m/s 515
[4] Shibli Numani, Sirat Un-Nabi, Jilid II, m/s 173 - 174
[5] Ibn Al-Athir, Usul Ulghabah Fi Ma'rifat Is-Sahabah, 1995, Dar Al-Fikr, Beirut (Lebanon), jilid 3, m/s 154.
[6] Sahih Bukhari, Kitab Al-Tafsir, Hadis 410.

No comments: